KUCHING: Sarawak Adventure Challenge (SAC) iaitu platform yang menonjolkan pemandangan menakjubkan serta tarikan semula jadi di Sarawak akan diadakan pada 23 Oktober di Beliong, daerah Asajaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara yang memasuki edisi keenam tahun ini bertujuan mempromosikan tempat menakjubkan yang dapat menjadi tarikan pelancongan menerusi perlumbaan pengembaraan.
Katanya, acara ini juga mempromosikan peluang rekreasi berasaskan aktiviti untuk penduduk tempatan dan produk pelancongan yang pelbagai untuk pasaran pelancongan dalam dan luar negara.
“Perlumbaan pengembaraan ini akan menampilkan beberapa tempat yang kurang dikenali di negeri ini, sekali gus menyediakan cara bagaimana untuk kita membangunkan pelancongan sukan serta rekreasi di tempat ini.
“Kita menyediakan acara yang mencabar tetapi menyeronokkan, memberi peluang kepada peserta merasai dan menghargai sumber semula jadi luar biasa yang kita tawarkan.
“Ia juga sasaran kementerian dan atas sebab ini, kementerian menyokong SAC yang telah diatur sejak tahun 2017.
“Saya amat berharap acara tahun ini di Beliong akan memberikan para peserta pendedahan yang mengejutkan tentang pelbagai tarikan dan peluang rekreasi yang ada,” katanya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, tahun ini SAC yang bertemakan ‘Dragon Challenge’ menyasarkan 400 peserta dalam acara ini yang terdiri daripada dua kategori iaitu larian 12 kilometer (km) serta kayuhan basikal 40km.
“Pada 23 Oktober, Sarawak Adventure Challenge, edisi keenam diadakan di Beliong iaitu di daerah Asajaya.Â
“Tema pada tahun ini ‘Dragon Challenge’ merujuk kepada kuil yang berkembang pesat dan popular di pulau itu.
“Banyak lagi yang akan ditampilkan di Beliong, malahan perlumbaan ini juga menampilkan kepelbagaian kaum, ekonomi negeri, denai serta tarikan destinasi menarik lain yang berdekatan,” katanya sambil memberitahu Beliong didiami kaum Cina, Melayu dan Iban yang dapat hidup aman damai.
SAC edisi keenam anjuran Draco Action Sports dan dibiayai Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menyediakan hadiah wang tunai dianggarkan RM40,000.
Pendaftaran untuk SAC Edisi Keenam dibuka sehingga 18 September 2022.
Menurut Pengarah Draco Action Sports Chua Juan Chuan yang turut hadir pada sidang media berkata, setakat ini mereka telah menerima lebih 100 pendaftaran menyertai SAC.
Hadir sama pada sidang media Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee serta yang lain.