The News

Sarawak Adventure Challenge Serlah Kepelbagaian Masyarakat, Promosi Sektor Pelancongan

October 25, 2022 KARIM-1-1

ASAJAYA: Sarawak Adventure Challenge (SAC) edisi keenam yang bertemakan ‘The Dragons Challenge’ bagi acara tahun ini menyerlahkan lagi kepelbagaian masyarakat, ekonomi tempatan dan tarikan destinasi terutamanya sektor perlancongan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, matlamat SAC adalah untuk mempromosikan tarikan pelbagai di negeri ini dengan menampilkannya dalam perlumbaan pengembaraan di beberapa tempat yang kurang dikenali di negeri ini.

“Acara seperti Sarawak Adventure Challenge (SAC) menyediakan cara untuk mempromosikan potensi pengembaraan dan rekreasi negeri bukan sahaja kepada pelancong antarabangsa, tetapi juga kepada penduduk tempatan dan ini terbukti daripada penyertaan tempatan yang berterusan dan semakin meningkat dalam acara tersebut.

“Acara ini juga merupakan platform terbaik untuk menonjolkan pemandangan menakjubkan dan tarikan semula jadi yang ditawarkan oleh Sarawak,” katanya semasa ditemui media pada program Sarawak Adventure Challenge (SAC) di Kampung Beliong, Asajaya pada Ahad.

Perlumbaan mencabar itu menampilkan pelbagai laluan denai, dusun dan ladang dengan permandangan persekitaran kampung serta kuil ikoniknya sebagai permulaan dan penamat.

KARIM-2-1-1536x864

Pelumba akan bersaing untuk mendapatkan tawaran hadiah wang tunai yang menarik dengan mengambil bahagian dalam beberapa format dan kategori perlumbaan berbasikal gunung dan larian denai meliputi jarak sejauh 40km ke atas untuk berbasikal dan 12km untuk larian.

Setiap tahun, SAC mempromosikan tempat baharu menggunakan tema unik untuk mewujudkan kesedaran tentang tarikan dan potensi pengembaraan Sarawak dan ianya bermula pada 2017 dengan Fairy Cave Bau (The Lost Mines), 2018 di Singai (The Sacred Mountain), 2019 di Lundu (Gunung ke Pantai), 2020 di Serian (The Jade Cave), 2021 di Siniawan (The Evolution Trail) dan tahun ini di Kampung Beliong (Cabaran Naga) dengan keistimewaannya setiap lokasi ada mempunyai cerita istimewa dan tarikan yang menakjubkan.

Sejak tahun pertama, acara itu semakin popular dan telah berjaya menarik peserta dari seluruh rantau termasuk Brunei, Singapura, Malaysia Barat, Indonesia, Hong Kong, China dan Taiwan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Hii Chang Kee dan Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat.- EDISI UKAS